My Market

Klik link ini untuk membeli produk dari usahawan tempatan: http://mymarket2u.com

Thursday, July 11, 2013

Orkes Gambus Al Barkah - AL Quran



Ramadan 1434 Hijrah (2013 Masihi) ini sudah beberapa hari kita lalui.  Bulan Ramadan ialah bulan teristimewa dalam kalendar Islam.  Bulan yang penuh berkat dan bulan dimana al-Quran diturunkan.  Pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa pada siang hari dan digalakkan untuk menunaikan solat sunat Terawih pada malamnya.  Solat sunat Terawih hanya dilakukan dalam bulan Ramadan.

Setiap amalan yang kita lakukan pada bulan Ramadan dilipat gandakan ganjaran pahala.  Berbagai jenis amalan kebaikan yang boleh kita lakukan seperti memperbanyakkan solat sunat, sedekah, bagi orang makan untuk berbuka puasa, qiam dalam masjid dan lain-lain lagi.  Namun begitu terdapat satu amalan yang sangat sangat digalakkan untuk diamalkan pada bulan Ramadan ini, bersempena dengan bulan turunnya al-Quran, iaitu memperbanyakkan amalan membaca al-Quran.  Rebutlah peluang keemasan bulan Ramadan ini untuk memperuntukkan masa yang lebih untuk membaca al-Quran.  Kita selalu diperdengarkan kisah kehebatan alim ulama zaman dahulu yang boleh khatam al-Quran dalam masa 1 hari.  Ada ulama besar yang boleh khatam 2 kali dalam sehari.  Apa pengajaran yang kita dapat dari kisah kehebatan ini?  Pada aku ini memberi gambaran yang jelas bahawa amalan membaca dan memperbanyakkan bacaan al Quran teramat digalakkan; dan alim ulama besar zaman dahulu mengambil kesempatan yang ada semaksima mungkin.

Mungkin kita tidak mampu untuk khatam al-Quran sekali sehari.  Namun begitu kita boleh meneruskan kesinambungan tradisi ini dengan meluangkan masa sebanyak yang mampu untuk membaca al-Quran.  Aku berpesan pada diri sendiri dan pada pembaca sekalian, untuk meningkatkan pembacaan al-Quran semaksima mungkin.  Sama sama kita berdoa agar niat kita, kehendak kita dan usaha kita untuk meningkatkan jumlah pembacaan al-Quran akan diberkati dan dikurniakan ALLAH keupayaan, kekuatan, ketekunan dan istiqamah kita dalam memperbanyakkan bacaan al-Quran dibulan yang mulia ini.

Tambahan pula bersempena dengan bulan turunnya al-Quran ini, bukankah ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah (s.a.w) ialah Iqra' yang bermaksud 'Bacalah'?  Ambillah kesempatan bulan Ramadan ini untuk membaca; dan tidak ada pembacaan yang lebih baik selain dari membaca al-Quran.

Paling tidak pun, luangkan lebih banyak masa untuk mendengar bacaan al-Quran secara online.  Jangan biarkan Ramadan tahun ini berlalu tanpa sebarang amalan berkaitan al-Quran yang kita lakukan.