My Market

Klik link ini untuk membeli produk dari usahawan tempatan: http://mymarket2u.com

Wednesday, March 23, 2011

Top Of The World ‧The Carpenters



Lagu ini aku pilih kerana teringat waktu aku menerima keputusan SPM dulu.

Semalam keputusan SPM diumumkan. Pagi tu aku melihat program TV yang memberi panduan dan tips semasa nak mengambil keputusan. Hari ini pulak aku mendengar radio mengenai pengalaman pendengar semasa mengambil keputusan SPM mereka. Bila mendengar berbagai cerita dari pendengar stesen radio tersebut, teringat pulak pengalaman aku semasa mengambil keputusan SPM dulu.
Pada hari nak ambil keputusan SPM, aku pergi awal lagi. Aku menaiki motosikal ke sekolah. Aku memang berulang alik ke sekolah dengan motorsikal Honda C70 yang ayah aku belikan untuk kegunaan aku ke sekolah. Pihak sekolah mula mengedar slip keputusan dalam pukul 11 pagi. Alhamdulillah, aku dapat pangkat 1. Masa tu guna sistem pangkat 1, 2, 3 & 4. Kalau dapat pangkat 4, boleh mengulang semula disekolah kerajaan. Dapat pangkat 1, boleh terus masuk universiti, buat diploma atau matrikulasi. Pangkat 2 boleh sambung masuk tingkatan 6.
Bila dah dapat keputusan, kawan-kawan ajak aku untuk 'celebrate'. Sebelum tu kenalah dulu pergi kerumah mereka sebab nak tunjuk keputusan kepada keluarga. Jadi aku pun ikut mereka dulu. Lepas tu kami pergi makan-makan dan jalan-jalan sekitar bandar. Aku tak terfikir pulak yang keluarga aku dok tunggu aku kat rumah. Aku sampai balik rumah lebih kurang jam hampir 3 petang. Rupa-rupanya keluarga aku dah rungsing, terutamanya abang aku. Pada fikiran dia, aku tak dapat pangkat 1, jadi aku kecewa dan sengaja balik lambat. Pada masa itu rumah aku belum ada talipon untuk memberitahu keputusan kepada keluarga aku. Sebenarnya kemudahan talipon pun masih tak ada di kampung aku pada waktu itu.
Bila aku balik saja, abang aku yang sampai dulu. Bila dah tahu aku dapat pangkat 1, kecoh juga la sekampung. Kira aku orang pertama yang dapat pangkat 1 dalam SPM dikampung tu. Glamor aku masa tu. Tahun tu jugalah bermulanya aku meninggalkan kampung untuk meneruskan pengajian dan seterusnya meneruskan kehidupan.