My Market

Klik link ini untuk membeli produk dari usahawan tempatan: http://mymarket2u.com

Wednesday, August 31, 2011

SELAMAT BERHARI RAYA - AL-MIZAN


Hari ini dah masuk 2 Syawal, hari raya ke 2 tahun 1432H. Tahun ini aku beraya di Lembah Kelang. Hajat hati nak beraya dikampung, tetapi kerana beberapa kekangan dan sebab2 tertentu, aku sekeluarga beraya di bandar.

Teringat pulak masa beraya zaman dahulu. Masa aku masih bersekolah rendah, hari raya rasanya memang seronok. Masa tu meriam buluh masih dimainkan. Meriam buluh menggunakan minyak tanah sering kedengaran diserata kampung. Untuk mercun pulak aku menggunakan plug motorsikal yang diubah suai, paku dan kepala mancis. Masukkan serbuk kepala mancis kedalam kepala plug motor, letak paku dan lambung. Bila jatuh ianya akan mengeluarkan bunyi. Lepas tu isi balik serbuk dari kepala mancis, dan boleh guna lagi. Bunyi tak lah sekuat mercun "pop-pop" yang ada sekarang, walaupun konsepnya hampir sama. Tapi rasa keterujaan dapat membuat mercun sendri itu yang seronok. Bahan guna pakai yang terpaksa dibeli masa tu cuma mancis sahaja. Modal kecik, maklumlah masa tu mana ada duit banyak. Bila ada duit lebih sikit, boleh beli mercun roket.

Masa dulu ada sejenis permainan "papan tikam", yang selalunya popular musim raya. Kita bayar 5 sen untuk mendapat peluang membuka 1 kertas yang ada terlipat & terlekat kat kertas manila card. Bayangkan lebih kurang macam paket kopi segera yang dijual dikedai2 kopi sekarang. Bila buka kertas, tengok apa yang kita menang. Kadang2 ada duit, kadang ada mercun dan selalunya tak dapat apa2. Permainan ini dah lama diharamkan kerana jelas ini adalah sejenis perjudian.

Zaman aku kecik dulu tak ada duit raya. Cuma ada sekali sekala bila aku pergi melawat kubur selepas solat sunat hari raya, akan ada orang2 yang pemurah yang melawat kubur memberi derma kepada budak2. Tak banyak la duit yang diberi. Biasanya 10sen atau 20sen sahaja yang dihulurkan. Kalau dapat kumpul 1 ringgit kira dah betul2 bernasib baik.