My Market

Klik link ini untuk membeli produk dari usahawan tempatan: http://mymarket2u.com

Wednesday, June 8, 2011

Search : Isabella (Penulis Lirik: Bob Lokman)


Ini lagu yang telah menjadikan kumpulan Search terkenal bukan saja di Malaysia malah diserantau sini. Lagu yang cukup popular dizaman kebangkitan irama rock.

Tapi aku tak nak bercerita tentang lagu ini dan penyanyinya. Aku nak bercerita tentang penulis lirik lagu ini iaitu Bob Lokman. Orang ramai mengenali Bob Lokman sebagai seorang pelawak. Namun pada hakikatnya beliau juga menulis lirik lagu, promoter konsert rock, pelakon dan macam2 lagi. Itu Bob Lokman dulu. Sekarang Bob Lokman telah berubah. Baru2 ni aku telah berkesempatan untuk mengikuti program forum agama di surau dekat rumah aku, dimana Bob Lokman adalah tetamu utama. Dia telah menceritakan pengalaman hidup beliau dan sebab2 yang membuatkan beliau berubah. Pada mulanya aku agak ragu2 juga untuk mendengar forum tersebut. Persoalan aku sebelum pergi majlis tersebut adalah samada majlis itu akan bercerita tentang parti politik atau tentang dakwah. Ternyata majlis malam tu sepenuhnya bercerita tentang agama, tentang pengalaman Bob Lokman dengan tujuan agar lebih ramai anak2 muda, rockers dan orang ramai mendekati agama.

Aku ingin berkongsi sedikit cerita Bob Lokman disini. Menurut Bob Lokman, banyak sebab yang menyebabkan beliau berubah dan salah satu sebabnya ialah setelah beliau melihat ramai sahabat2 beliau dalam bidang hiburan yang dah meninggal dunia. Bob Lokman datang dari keturunan yang berpendidikan agama yang tinggi. Beliau merupakan cicit kepada Tok Kenali, ulama terkenal dari Kelantan. Semasa kecil, beliau dididik dengan ilmu agama oleh datuk beliau, dan meneruskan pelajaran formal disebuah Maahad. Cara hidup beliau berubah setelah datang ke Kuala Lumpur dan mula membiasakan diri di Pertama Complex. Disitulah beliau mendapat peluang untuk berkenalan dengan ramai rockers dari setiap pelusuk negara. Oleh kerana beliau tidak pandai bermain alat muzik, beliau menceburkan diri dalam bidang penulisan lirik dan bergerak aktif dibelakang tabir konsert rock. Bermula sebagai sound man, beliau akhirnya menjadi pengurus dan promoter konsert rock, disamping telah menulis sebanyak 350 lirik lagu. Niat utama beliau adalah untuk mengejar wang. Kemewahan dan populariti telah membuat beliau tersimpang jauh dari jalan agama yang betul. Telah banyak kali tanda2 peringatan yang ALLAH telah berikan kepada beliau supaya berubah, seperti ;
1) Beliau pernah lumpuh dan ambil masa 8 bulan untuk berjalan seperti biasa
2) Beliau mengalami kerugian yang banyak akibat dari kejatuhan ekonomi serantau
3) Beliau menghidapi darah tinggi
4) Beliau ditinggalkan oleh isteri
5) Beliau kena serangan stroke yang menempatkan beliau didalam wad ICU selama 5 hari

Semasa didalam ICU itulah beliau terbayang segala kesilapan lampau dan beliau nekad untuk berubah. Asas agama yang kukuh yang beliau dapati semasa kecil, telah memudahkan beliau untuk berubah. Pada awalnya beliau merasa kekok untuk kesurau, kerana beliau bimbang tanggapan dan jelingan jemaah surau yang "semacam". Pesan beliau kepada orang surau, jangan pandang orang yang baru datang ke surau dengan pandangan yang pelik, dan kalau ternampak artis ke surau, jangan pula nak minta autograf.

Sekarang ini beliau menyampaikan apa yang beliau tahu untuk mengajak ramai orang Islam kembali kejalan Islam yang sebenar. Beliau juga sedang berusaha bersama beberapa individu lain untuk mempersembahkan bentuk nyanyian baru yang sesuai dengan kehendak Islam. Kita sama2 berdoa agar beliau akan mendapat kejayaan. Bob Lokman juga bercerita pengalaman beliau berdakwah kepada "otai-otai" penagih. Perkara utama yang beliau bercerita untuk menarik minat otai2 tersebut ialah, "ALLAH tak marah sangat kita buat jahat, tapi ALLAH marah sangat bila kita tak minta ampun dariNYA. Dosa pertama didunia ini ialah apabila Iblis enggan meminta ampun dari ALLAH kerana tak mahu hormat kepada Adam."

Pada penghujung majlis itu, Bob Lokman ada menjual buku tulisan beliau bertajuk "Aku, Isabella dan Tok Kenali", sebuah buku yang menceritakan pengalaman hidup beliau. Harga cuma RM15.00 sahaja. Aku amat mencadangkan kepada sesiapa untuk pergi mendengar sessi ceramah atau forum Bob Lokman dan jangan lupa beli buku sekali.