NKOTB, ringkasan nama kumpulan ini. Aku tak minat sangat dengan kumpulan ini. Kebanyakan peminat kumpulan ini ialah remaja perempuan. Apa yang aku ingat mengenai kumpulan ini ialah apabila mereka datang mengadakan konsert ke tempat aku belajar dulu. Pertama kali aku melihat betapa peminat-peminat mereka sanggup bermalam dikawasan sekeliling bangunan pusat membeli belah dan tempat letak kereta, semata-mata untuk mendapat tempat terawal untuk membeli tiket konsert kumpulan ini.
Seminggu sebelum konsert diadakan, jualan tiket telah dibuka. Pada malam sebelum kaunter tiket dibuka, orang ramai telah beratur bermula dipintu masuk ke pusat membeli belah dimana kaunter tiket akan dibuka keesokan harinya. Hari itu hari Jumaat dan tiket akan mula dijual pada hari Sabtu. Waktu itu cuaca agak sejuk walaupun dah bermula musim panas. Kebanyakan yang beratur adalah remaja perempuan dan mereka tidur disitu dengan menggunakan sleeping bags dan khemah. Pada mulanya aku tak percaya bila seorang kawan aku yang baru balik dari pusat membeli belah tersebut bercerita mengenai keadaan itu. Aku ajak dia kesana untuk menyaksikan sendiri keadaan tersebut. Dengan memandu kereta sendiri, aku dan kawan aku kesana. Waktu itu lebih kurang jam 10 malam.
Apa yang dapat aku lihat ialah begitu ramai peminat-peminat fanatik NKOTB bermalam disitu dengan secara berbaris mengikut susunan baris yang diatur oleh pihak keselamatan bangunan tersebut. Barisan bermula didepan pintu masuk, mengelilingi kaki lima bangunan dan keluar kekawasan tempat letak kereta. Ada aku nampak beberapa ibu bapa yang datang membawa makanan kepada anak-anak mereka. Ada yang memasang lilin dan duduk berkumpul mengelilingi lilin sambil menyanyi. Ada juga yang telah berbaring dalam sleeping bag. Meriah juga suasana disitu waktu itu.
Aku dapat tahu bahawa tiket untuk konsert tersebut habis dijual dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas kaunter dibuka. Memang hebat pengaruh kumpulan ini pada waktu itu.